global

Berang ditegur polis, lelaki bertindak merosakkan motosikalnya

Oleh Agensi

Batam: Lelaki bertindak merosakkan motosikalnya selepas tidak berpuas hati ketika pemeriksaan polis di Karimun dekat sini.

Video ketika lelaki berkenaan bertindak menghempap batu pada motosikalnya juga tular di media sosial.

Ketua Trafik Polis Karimun R Dwi Moch Ramadhanto ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada Selasa lalu.

Menurutnya, masalah itu berlaku kerana salah faham penunggang motosikal berkenaan terhadap anggota polis trafik yang sedang bertugas.

"Hanya salah paham saja, pagi itu petugas kami sedang melakukan pemeriksaan kenderaan dalam Operasi Zebra 2020.

"Ketika itu, penunggang motosikal itu melintas tanpa mengenakan topi keledar dan perlengkapan lainnya, dan saat dilakukan teguran diberikan kepadanya.

"Lelaki itu terus marah dan tidak dapat terima terguran yang diberikan," kata Ramadhanto.

Berang dengan teguran itu, lelaki berkenaan bertindak menghempap motosikalnya itu dengan sebiji batu besar.

"Kejadian itu berlaku berdekatan lampu isyarat daerah Baran dan lelaki berkenaan sudah meminta maaf di atas perbuatannya," katanya.

Ramadhanto berharap kejadian itu tidak berulang lagi dan menasihati masyarakat untuk sentiasa mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya serta melengkapkan dokumen kenderaan.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 10:25am
d