global

Lelaki bunuh penuntut Malaysia ditahan

Oleh BERNAMA

Tainan: Lelaki ditahan di Kaohsiung dekat sini, pada malam Khamis kerana menyebabkan kematian seorang penuntut Malaysia, lapor Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan.

Lelaki berkenaan mengaku mencekik penuntut universiti berusia 24 tahun terbabit hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.

"Berdasarkan bukti yang ditemui setakat ini, dipercayai bahawa suspek menculik gadis berkenaan selepas 8 malam Rabu, yang juga merupakan kali terakhir dia dilihat masih hidup," kata polis.

Polis mengesahkan pihak universiti mangsa ada membuat laporan kepada pegawai imigresen pada Khamis dengan mengatakan bahawa penuntut berkenaan hilang.

Selepas Jabatan Polis Kota Tainan diberitahu mengenai kes tersebut, penyiasatnya menjumpai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa berjalan di sepanjang jalan di daerah Gueiren, dekat dengan jalan tol kereta api pada 8 malam sebelum hilang dari pandangan.

Pencarian di kawasan itu menemukan kasut yang kemudiannya disahkan milik mangsa sekali gus menyebabkan polis percaya bahawa dia diculik di daerah terbabit.

Polis kemudiannya menumpukan siasatan terhadap sebuah kereta yang didapati mempunyai kesan darah dan sebungkus seluar dalam wanita.

Nombor pendaftaran kenderaan terbabit membantu polis mengesan suspek berusia 28 tahun.

Tidak lama selepas pengakuannya, polis menjumpai mayat mangsa di lereng bukit di Kaohsiung.

Menurut siasatan awal, polis mengatakan, mangsa tidak mengenali suspek.

Kes terbabit diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Daerah Ciaotou di Kaohsiung untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 2:01pm
d