global

69 peratus penduduk Islam Amerika undi Biden

Oleh BERNAMA

Washington: Majoriti penduduk Islam di Amerika Syarikat (AS) iaitu 69 peratus, memilih calon Demokrat Joe Biden dalam pertarungan untuk menguasai Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu.

Ia berdasarkan tinjauan Majlis mengenai Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

Pertubuhan hak dan sokongan masyarakat Islam terbesar di AS itu melaporkan tahun ini menyaksikan jumlah pengundi Islam yang ramai dengan penyertaan sebanyak 84 peratus.

Hanya 17 peratus dari 844 pengundi berdaftar yang mengambil bahagian dalam tinjauan mengatakan mengundi Presiden Donald Trump.

"CAIR ingin mengucapkan terima kasih kepada lebih sejuta pengundi Islam Amerika yang keluar mengundi, mencatat rekod pada pilihan raya kali ini," kata Pengarah Eksekutif CAIR Nihad Awad dalam satu kenyataan.

"Pengundi dalam kalangan komuniti Islam boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya - termasuk pemilihan presiden - diakui oleh calon dan media," tambah Awad.

Jutaan rakyat Amerika mengundi pada pilihan raya AS 2020 pada Selasa untuk memilih presiden dan wakil kongres.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 4:28pm
d