global

Taiwan keluarkan amaran ribut tropika Atsani

Oleh BERNAMA

Taipei: Biro Cuaca Pusat (CWB) pada Khamis mengeluarkan amaran Ribut Tropika Atsani di kawasan perairan yang diramal mencetuskan hujan lebat serta ombak tinggi di bahagian utara dan timur Taiwan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Pada 8 pagi, Atsani berada sekitar 670 kilometer timur-tenggara Eluanbi, hujung selatan Taiwan, bergerak dengan kelajuan 25 kilometer sejam (kph) ke arah barat, menurut CWB.

Dengan radius 80 km, ribut membawa angin berkekuatan maksimum 90 kph, dengan kelajuan sehingga 119 kph, berdasarkan data biro.

Atsani dijangka bergerak paling hampir dengan Taiwan pada Jumaat ketika melalui Bashi Channel antara Taiwan dan Filipina, sementara pinggiran luarnya dijangka membawa angin kencang dan hujan ke beberapa bahagian pulau, dengan ramalan hujan lebat di bahagian utara dan timur Taiwan.

Sementara itu, biro itu berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan peringatan di darat jika ribut terus menghala ke utara dari laluan asalnya.

Pada Khamis, suhu dianggarkan meningkat sedikit berikutan sistem angin timur laut yang lemah, dengan ramalan peningkatan sehingga 26-27 darjah Celsius untuk utara dan timur Taiwan pada siang hari dan 28-30 darjah Celcius di bahagian lain negara, kata biro itu.

Menurut CWB, hujan sekali-sekala dijangka berlaku sepanjang hari di utara dan timur laut.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 4:07pm
d