global

Mahkamah Agung AS tolak tangguh kira undi di Pennsylvania

Oleh AFP

Washington: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan Parti Republikan untuk menghentikan pengiraan undi di Pennsylvania, dengan serta-merta.

Bagaimanapun, Hakim Samuel Alito memerintahkan buat masa ini, kertas undi pemilih pada hari pengundian diasingkan dengan kertas undi yang tiba lewat.

Permohonan injunksi berkenaan difailkan oleh parti itu ketika calon Parti Demokrat, Joe Biden sudah mendahului Presiden Donald Trump selepas pengiraan undi pos yang kini masih berlangsung.

Republikan memohon supaya kertas undi yang tiba selepas jam 8 malam 3 November tidak dikira dan diasingkan supaya tidak dikira dengan kertas undi lain.

Pihak berkenaan mendakwa sekiranya kertas undi itu bercampur, adalah mustahil untuk mengkategorikan kertas undi itu sebagai tidak boleh dikira.

"Mengambil kira keputusan pada 3 November 2020, undi di Pennsylvania akan menentukan siapa yang memang jawatan presiden," kata Parti Republikan.

Sebelum ini, Parti Republikan sudah berbulan-bulan melawan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan undi yang diposkan pada 3 November, dan diterima sebelum atau pada Jumaat. Sebelum ini, tarikh akhir penerimaan kertas undi adalah pada hari pengundian iaitu 3 November lalu.

Mahkamah Agung Pennsylvania sebelum ini sudah menolak permohonan berkenaan dan susulan itu, Parti Republikan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di mahkamah persekutuan.

Dalam pada itu, kebanyakan pihak berpendapat, petisyen difailkan pada Jumaat itu adalah usaha untuk melengah-lengahkan pengiraan undi di Pennsylvania yang kini menyaksikan jumlah undi diperolehi Biden mendahului Trump.

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 1:29pm
d