global

Presiden lima hari

Oleh Agensi

Lima: Presiden interim (sementara) Peru, Manuel Merino meletakkan jawatannya hanya lima hari selepas dilantik ke jawatan itu.

CNN melaporkan ia susulan protes hampir seminggu yang tercetus di seluruh negara Amerika Selatan itu berikutan pendakwaan terhadap bekas presiden, Martin Vizcarra.

"Saya mahu seluruh dunia tahu bahawa saya meletak jawatan sebagai presiden," katanya dalam ucapan di televisyen.

Sebelum ini, Merino adalah Presiden Kongres sehingga dilantik sebagai presiden interim negara berkenaan.

Ia selepas Kongres mendakwa Vizcarra atas pertuduhan rasuah.

Tuduhan berkenaan dinafikan oleh Vizcarra.

Perkembangan itu menyebabkan protes di seluruh negara sehingga menyebabkan dua terkorban dan 94 yang lain cedera.

Peserta protes terdiri daripada orang awam dan penyokong parti pembangkang yang mendakwa tindakan terhadap Vizcarra adalah satu bentuk rampasan kuasa.

Mereka juga enggan mengiktiraf Merino sebagai presiden baharu.

Antara individu yang lantang mengkritik pelantikan Merino termasuk Datuk Bandar Lima, Jorge Munoz dan penerima Anugerah Nobel Mario Vargas Llosa,

Merino menjadi presiden ketiga negara itu yang dilantik dalam tempoh kurang lima tahun.

Sebelum ini, Vizcarra dilantik sebagai presiden pada 2018 selepas presiden sebelumnya, Pedro Pablo Kuczynski meletak jawatan kerana dakwaan terbabit dalam rasuah.

Vizcarra adalah Naib Presiden kepada Kuczynski.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 12:11pm
d