global

'Batu' dalam perut makan 4 pisang kaki

Oleh Agensi

Beijing: Sekumpulan doktor di hospital di China berjaya mengeluarkan 'batu' yang menjadi punca sakit perut seorang kanak-kanak lelaki.

Lapor Global Times, kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Wen itu makan empat pisang kaki berturut-turut, dua minggu lalu. Dia kemudian sering kali mengadu sakit perut.

Pemeriksaan imbasan ultrabunyi di sebuah hospital tempatan di Quanzhou, wilayah Fujian kemudian menemui 'batu' berukuran tujuh sentimeter panjang dan tiga sentimeter lebar di dalam perut budak itu.

Berat 'batu' itu dianggarkan sekurang-kurangnya 250 gram.

Menurut doktor yang merawatnya, fenomena batu berkenaan terbentuk menerusi tindak balas asid dalam buah itu dengan protein dan serat di dalam perutnya.

Pasukan doktor akhirnya berjaya memecahkan batu menyerupai bola keras itu kepada serpihan kecil dan mengeluarkannya menerusi pembedahan selama sembilan jam.

Kanak-kanak itu kini dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam pada itu, pakar perubatan memberi amaran, pisang kaki iaitu sejenis tumbuhan berbunga tidak sepatutnya dimakan berlebihan atau dalam keadaan perut kosong.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 6:30am
d