global

Donald Trump berucap dalam APEC hari ini

Oleh AFP

Kuala Lumpur: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap menyertai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan dalam masa yang sama secara berterusan menolak keputusan pilihan raya yang menyaksikan kekalahan beliau.

Sidang kemuncak APEC tahun ini berlangsung secara maya berikutan penularan Covid-19, menemukan 21 pemimpin negara rantau Asia Pasifik yang menjana 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) dunia.

Semalam, Presiden China, Xi Jinping menggunakan forum yang dihoskan Malaysia untuk mengumumkan pertumbuhan ekonomi negaranya.

China mula menjadi kuasa utama di belakang kumpulan perdagangan rantau berkenaan selepas AS mula menarik diri dalam beberapa kerjasama pelbagai hala ketika Trump menjadi Presiden.

Washington memecah kebiasaan mereka dengan tidak menghantar wakil untuk berucap dalam persidangan dua hari itu bagaimanapun pegawai tertinggi AS mengesahkan bahawa Trump menyertai sidang kemuncak itu hari ini.

Trump akan menyampaikan ucapannya kepada pemimpin negara anggota tetapi lazimnya tertutup kepada media, mengikut sumber rasmi.

Ini adalah kali kedua buat Trump selepas 2017 untuk menyertai APEC ketika sedang berjuang dengan kekalahannya dengan ahli demokrat Joe Biden.

Penganalisa dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun mengatakan Trump akan mahu menampilkan dirinya sebagai presiden di pentas global.

"Tentu saja Trump akan mengambil kesempatan ini untuk menampilkan dirinya sebagai presiden yang sah untuk meraih kepentingan politik dosmetik," katanya.

Trump berulang kali mendakwa tanpa sebarang bukti bahawa kiraan pilihan raya pada 3 November lalu adalah penipuan.

Pasukan kempennya mengemukakan tuntutan di mahkamah bagi mencabar keputusan pilihan raya itu.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 3:31pm
d