global

Belajar di kaki lima

Oleh Agensi

Rome: Meskipun sekolah ditutup berikutan pertambahan kes Covid-19, seorang budak perempuan berusia 12 tahun di Itali enggan akur dengan arahan duduk di rumah.

Sebaliknya, Anita Lacovelli melakukan protes dengan cara belajar di kaki lima bangunan hadapan sekolahnya di Turin, di sini.

Setiap hari, Anita datang dengan memakai pelitup muka, topi dan baju sejuk sambil membawa kerusi lipat berwarna merah jambu dan meja kecil.

Tanpa menghiraukan sekeliling dan keadaan tidak selesa kerana menjadi kawasan lalu lalang orang awam, Anita tetap tekun mengikuti kelas dalam talian menggunakan tablet yang dibawa bersama.

Baginya, lebih baik berada di situ berbanding duduk di rumah seperti ketika sekatan pergerakan dikuatkuasakan di Itali pada awal tahun ini.

"Saya tidak sanggup lagi melalui pembelajaran jarak jauh untuk tahun berikutnya sebaik pengumuman penutupan sekolah dibuat," katanya.

"Saya rindukan segalanya mengenai sekolah seperti belajar di dalam kelas, melihat wajah guru secara bersemuka tanpa menerusi skrin dan bersama dengan rakan sekelas," katanya kepada AFP.

Tindakan Anita itu mendapat perhatian Menteri Pelajaran Itali, Lucia Azzolina yang menghubunginya selain meninggalkan nota di poster dengan menyatakan pembelajaran di sekolah adalah hak semua.

"Beliau menghubungi saya dan mengucapkan tahniah kerana suka dengan protes yang saya lakukan.

"Dia berjanji untuk berusaha sehabis baik bagi memastikan sekolah dibuka semula secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, ibu Anita, Christiana Perrone berkata, anaknya ada memaklumkan hasratnya untuk duduk belajar di hadapan sekolah.

Selain Anita, rakannya, Lisa dan beberapa murid lain turut mengikutnya melakukan protes dengan belajar di kaki lima luar sekolah Italo Calvino.

Ia selepas Turin diisytiharkan sebagai kawasan zon merah pada 6 November lalu yang menyebabkan kebanyakan kedai, bar dan restoran ditutup seiring dengan pelaksanaan sekatan pergerakan.

Kanak-kanak dibenarkan hadir ke sekolah manakala pelajar lebih dewasa perlu mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 6:31am
d