global

YouTube sekat saluran maklumat pro-Trump

Oleh AFP

San Francisco: YouTube menyekat saluran kegemaran Presiden Donald Trump, One Amerika News Network (OAN) selama seminggu akibat penyiaran video palsu.

OAN disekat kerana menyiarkan maklumat tidak tepat kononnya Covid-19 mempunyai penawar.

Menurut jurucakapnya, Ivy Choi, aplikasi popular dimiliki Google itu juga dihentikan sementara daripada menjana keuntungan dari kandungan dalam talian sedia ada.

"Selepas diselidik secara teliti, kami mengeluarkan video daripada OAN dan membuat satu teguran terhadap saluran itu kerana melanggar dasar maklumat salah mengenai Covid-19 yang melarang kandungan kononnya wabak itu ada penawar," kata Choi dalam kenyataan.

Ini kali pertama YouTube menyekat OAN, iaitu pihak yang dilihat menolak untuk mengakui kemenangan Joe Biden pada pemilihan Presiden pada 3 November lalu serta menyebarkan dakwaan berhubung penipuan pilihan raya.

Menurut dasar YouTube, OAN pernah ditegur dua kali sebelum ini.

OAN perlu membuktikan pihaknya sudah menyelesaikan masalah itu untuk pertimbangan Youtube jika ingin menjana keuntungan melalui kandungan videonya semula.

"Sejak awal pandemik lagi, kami berusaha menyekat penyebaran maklumat tidak tepat dan memudaratkan yang berkaitan Covid-19 di Youtube," katanya.

Sejak Februari lalu, YouTube sudah mengeluarkan 200,000 video kandungan berbahaya atau maklumat tidak tepat berhubung perkara itu.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 6:00am
d