global

AS lanjutkan tarikh akhir penjualan TikTok

Oleh AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) melanjutkan lagi tarikh akhir penjualan aplikasi TikTok bagi operasi di negara itu sehingga 4 Disember depan kepada pemilik aplikasi yang berpangkalan di China.

Perbendaharaan AS pada Rabu berkata, tarikh akhir sepatutnya ByteDance menjual aplikasi itu adalah esok, namun ia dilanjutkan lagi tujuh hari.

"Jawatankuasa Pelaburan Asing Amerika Syarikat (CFIUS) memberikan ByteDance lanjutan seminggu lagi dari 27 November hingga 4 Disember bagi menyemak semula permohonan yang diterima jawatankuasa ini baru-baru ini," kata jurucakap jawatankuasa itu.

Sebelum ini, pentadbiran Presiden Donald Trump mendakwa operasi TikTok itu kemungkinan dijadikan alat intipan China selain mengancam untuk melarangnya.

Larangan itu turut dicabar di mahkamah termasuk kes di Washington dan pencipta aplikasi itu di Mahkamah Pennsylvania, yang akhirnya menyekat larangan itu pada 30 Oktober lalu.

Trump mendakwa, TikTok mempunyai lebih 100 juta pengguna di AS boleh digunakan untuk mengumpul data negara itu kepada perisikan China, tetapi dinafikan pemilik aplikasi berkenaan.

Manakala Rumah Putih pula berkata, TikTok perlu dimiliki dan dikawal pelabur dari syarikat di AS jika mahu aplikasi popular itu tidak dilarang di negara itu.

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 10:10am
d