global

Iran dakwa Israel dalang pembunuhan saintis nuklear

Oleh AFP

Tehran: Iran mendakwa saintis nuklear terkenal di negara itu dibunuh dalam satu serangan hendap di luar bandar ini, semalam, yang didalangi Israel.

Kementerian Pertahanan Iran, dalam kenyataannya berkata, Mohsen Fakhrizadeh parah ketika penyerang hendap itu menyasarkan kenderaan dinaikinya sebelum berbalas tembakan dengan pasukan pengawal.

Fakhrizadeh yang mengetuai organisasi inovasi dan penyelidikan Kementerian Pertahanan disahkan mati syahid selepas gagal diselamatkan petugas perubatan.

Saintis itu yang digambarkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai bapa program nuklear Iran diserang hendap ketika dalam perjalanan berhampiran bandar Absard di wilayah Damavand, timur Tehran.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata, ada petunjuk kukuh mengenai pembabitan Israel dalam pembunuhan saintis itu.

"Pengganas membunuh saintis terkemuka Iran hari ini," ciapnya di Twitter.

"Tindakan pengecut, yang mempunyai bukti membabitkan Israel, menunjukkan betapa terdesaknya puak pelampau yang gilakan peperangan ini," katanya lanjut dalam ciapan itu.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak bersikap pilih kasih apabila isu persenjataan nuklear antarabangsa dibangkitkan membabitkan negara itu.

Pembunuhan Fakhrizadeh berlaku kurang dua bulan sebelum Joe Biden yang memenangi pilihan raya baru-baru ini mengambil alih pejabat presiden Amerika Syarikat (AS).

Biden berjanji untuk kembali ke jalan diplomasi dengan Iran selepas empat tahun 'hubungan tegang' di bawah pentadbiran Donald Trump selaku Presiden AS.

Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018 dan mula mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu.

Menurut Trump ketika itu, kesepakatan rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) tidak menawarkan jaminan mencukupi untuk menghentikan Tehran daripada membangunkan bom atom.

Sebaliknya, Iran sudah berulang kali menafikan sebarang niat membangunkan senjata atau bom nuklear.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 1:07pm
d