global

Fosil paus berusia hingga 5,000 tahun ditemukan di Thailand

Oleh Agensi

Bangkok: Fosil ikan paus yang lengkap dan masih terpelihara dianggarkan berusia antara 3,000 hingga 5,000 tahun ditemukan di Thailand, awal bulan ini, lapor BBC.

Fosil berukuran 12 meter yang dipercayai daripada spesies Bryde itu ditemukan 12 kilometer dari barat Bangkok.

Kumpulan pakar berharap penemuan itu dapat membuka lembaran baharu kepada sumber kajian mengenai masa lalu, khususnya berkaitan paras laut dan biodiversiti.

Penyelidik Mamalia dari Universiti Kebangsaan Singapura Marcus Chua berkata, penemuan fosil tulang itu jarang berlaku.

"Hanya sedikit subfosil ikan paus (ditemukan) di Asia," katanya sambil menambah lebih sedikit lagi yang ditemukan dalam keadaan baik.

Gambar fosil ikan paus itu yang dikongsi Menteri Alam Sekitar Thailand Varawut Silpa-archa menunjukkan tulang mamalia itu kelihatan hampir lengkap.

Menurut ahli politik itu, lebih daripada 80 peratus fosil ikan paus ini dipulihkan, termasuk tulang belakang, rusuk, sirip dan bahu. Kepala paus itu dianggarkan sepanjang sekitar tiga meter.

Chua berkata, penemuan itu membolehkan penyelidik mengkaji perbezaan spesies itu pada masa lalu dengan ikan paus Bryde ketika ini.

Fosil itu juga akan memberikan maklumat mengenai keadaan paleobiologi dan geologi, termasuk keadaan permukaan laut, sedimen serta komuniti biologi kontemporari pada masa itu.

"Oleh itu, penemuan ini akan memberi laluan untuk mengetahui masa lalu apabila usia sebenar fosil itu diketahui," kata Chua.

Usia sebenar fosil ikan paus itu masih belum dapat ditentukan dan ia diharapkan diketahui menjelang Disember ini.

Fosil itu ditemukan di pinggir pantai di Samut Sakhon. Paus Bryde yang masih wujud ketika ini hidup perairan beriklim tropika.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 4:03pm
d