global

26 askar Afghanistan maut, pangkalan diserang pengebom berani mati

Oleh AFP

Ghazni, Afghanistan: Seorang pengebom berani mati berkereta menyerang pangkalan tentera di sini, hari ini, dan membunuh sekurang-kurangnya 26 anggota keselamatan.

Menurut pegawai, kejadian itu adalah satu daripada serangan berdarah yang mensasarkan anggota tentera Afghan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Serangan berlaku di pinggir Ghazni, ibu negeri wilayah timur Ghazni, yang menyaksikan pertempuran berkala antara Taliban dan pasukan pemerintah.

"Kita sudah menerima 26 mayat dan 17 lagi yang cedera setakat ini. Kesemua mereka adalah anggota keselamatan," kata Pengarah Hospital Ghazni, Baz Mohammad Hemat kepada AFP.

Sementara ahli majlis wilayah Ghazni, Nasir Ahmad Faqiri mengesahkan jumlah kematian itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Tariq Arian mengesahkan pengebom berani mati meletupkan kenderaan yang penuh dengan bahan letupan di Ghazni, tetapi tidak memaklumkan jumlah angka korban.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Serangan itu berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas dua bom membunuh 14 individu di kota bersejarah Bamiyan.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 4:04pm
d