Afrika

Kematian akibat Idai meningkat

Oleh AFP

BEIRA: Kematian akibat Siklon Idai di Mozambique meningkat kepada 417 orang, dalam pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa lebih banyak bantuan untuk mangsa yang terselamat.

Angka baru itu membawa jumlah kematian Mozambique dan Zimbabwe akibat bencana berkenaan kepada 676 orang dengan agensi bantuan bergelut membantu puluhan ribu penduduk yang terkesan akibat siklon itu, antara yang terburuk melanda selatan Afrika.

Seminggu selepas ribut membadai Mozambique dengan angin hampir 200 kilometer sejam, penduduk berdepan pelbagai kesukaran, malah ada yang masih terperangkap atas bumbung rumah selain ramai memerlukan makanan serta berdepan risiko penyakit seperti taun.

Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) Henrietta Fore berkata: "Keadaan akan lebih buruk sebelum ia berubah baik. Agensi bantuan masih belum dapat memastikan skala kerosakan sebenar."

Menurutnya, ada perkampungan yang tenggelam sepenuhnya, bangunan diranapkan selain sekolah dan pusat kesihatan musnah.

Program Makanan Sedunia pada lewat Jumaat mengisytiharkan krisis banjir tahap tiga, seterusnya meletakkannya setaraf dengan krisis di Yaman, Syria serta Sudan Selatan.

Lebih dua juta orang terkesan di Mozambique, Zimbabwe dan Malawi. Hampir sejuta orang hilang tempat tinggal manakala ratusan yang lain masih hilang.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 11:36pm
d