Afrika

Maut dibaham singa peliharaan

Oleh Agensi

PRETORIA (AFRIKA SELATAN): Seorang yang terkenal sebagai 'lelaki singa' kerana memelihara haiwan buas itu sejak kecil, maut selepas dibaham tiga singa peliharaannya ketika dia membaiki pagar kandang haiwan berkenaan.

Leon van Biljon, 70, ditemui mati Selasa lalu, di Mahala View Lodge, kira-kira 48 kilometer dari Pretoria.

Menurut laporan Daily Mail, semua singa terbabit terpaksa ditembak mati oleh anggota penyelamat ketika berusaha menyelamatkan lelaki berkenaan.

Menurut media Afrika Selatan, tiga singa terbabit yang dipelihara sejak kecil, jinak dengan Van Biljon dan tidak pernah bertindak ganas sebelum ini.

Bagaimanapun, ketika lelaki itu membaiki pagar dan membelakangkan haiwan terbabit, seekor daripada singa itu menerkamnya dan menggigit leher mangsa sebelum dua lagi singa turut sama menyerangnya.

Anggota paramedik, Xander Loubser berkata, anggota penyelamat menembak semua singa berkenaan dalam usaha menyelamatkan mangsa namun van Bijon kemudiannya disahkan meninggal dunia.

"Tindakan menembak mati haiwan terbabit terpaksa dilakukan kerana tiada cara lain untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 9:01am
d