Afrika

'Guru ganti'

Oleh Agensi

Kaherah: Seorang kanak-kanak perempuan Mesir yang bimbang penutupan sekolah akibat Covid-19 menyebabkan ketinggalan dalam pelajaran bertindak menjadi 'guru ganti' untuk murid di kawasan kejiranannya.

Reem El-Khouly yang baru berusia 12 tahun membuka kelasnya di jalanan di kawasan perkampungan Atmidah di Dakahlia yang terletak lebih 80 kilometer dari timur laut Kaherah.

Malah, dia kini mempunyai 30 'murid' yang berusia di bawah usianya dan sentiasa menunggu diajar hampir setiap hari.

"Saya fikir daripada membiarkan mereka bermain di jalanan, lebih baik saya mengajar mereka.

"Setiap hari, saya bangun, sembahyang dan memanggil mereka untuk memulakan kelas.

"Saya ajar Bahasa Arab, Matematik, subjek keagamaan dan Bahasa Inggeris," kata Khouly seperti dilapor iNews.

Pada mulanya, dia hanya menggunakan buku nota untuk mengajar sebelum beralih kepada papan hitam dan kapur hasil sumbangan masyarakat selepas kelasnya berlangsung.

Kini selepas jumlah murid bertambah, sebuah syarikat tempatan menghadiahkan kanak-kanak itu papan putih dan pen marker untuk membantu dia mengajar.

Reem berkata, ibunya pada mulanya tidak menggalakkan dia membuka kelas itu disebabkan suaranya lantang.

"Dia kemudian memberi galakan apabila melihat murid berinteraksi dengan saya dan memanfaatkan mereka serta beritahu saya boleh mengajar selama saya suka," katanya yang bercita-cita menjadi guru matematik.

Sementara itu, Mohamed Abdel Moheim, 9, yang menghadiri kelas Reem mengagumi 'guru' itu.

"Sebaik sekolah ditutup, Reem mula mengajar kami supaya kami tidak lupa apa yang kami belajar di sekolah," katanya.

"Saya sayang Miss Reem kerana saya kini lebih memahami subjek Bahasa Arab, Matematik dan Bahasa Inggeris berkat ajarannya," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 6:00am
d