Afrika

Mendarat cemas kerana kucing

Oleh Agensi

Khartoum: Hanya kerana seekor kucing, sebuah pesawat penumpang di Sudan yang dalam penerbangan ke Doha, Qatar terpaksa melakukan pendaratan cemas.

Ini kerana seekor kucing 'menceroboh' kokpit pesawat dan dilaporkan 'mengganggu' juruterbang.

Pesawat Tarco Aviation itu berlepas dari lapangan terbang di bandar ini sebelum insiden mencemaskan itu berlaku kira-kira 30 minit kemudian, lapor Al Sudani.

Siasatan lanjut mendapati kucing berkenaan memanjat dan masuk ke dalam pesawat walaupun pemeriksaan lanjut sebelum berlepas tidak menemui haiwan itu.

Kejadian itu bagaimanapun masih kekal misteri kerana pihak berkuasa masih mencari pemilik kucing berkenaan.

Ini bukan kali pertama kucing menyebabkan kekecohan di dalam pesawat.

Pada 2012, seekor kucing terlepas dari sangkarnya di bahagian kabin pesawat di Kanada.

Berdasarkan National Post, kejadian itu menyebabkan penerbangan terpaksa ditangguhkan selama empat jam.

"Mereka perlu membuka bahagian kokpit untuk pemeriksaan lanjut," kata Peter Spurway, Naib Presiden Komunikasi Korporat Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Halifax.

Pada 2015, kru kabin terpaksa menangkap seekor kucing di Amerika Syarikat selepas haiwan itu terlepas dari kurungan ketika penerbangan.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 6:31am
d