Afrika

Gua Wonderwerk rumah tertua pernah dihuni manusia

Oleh Agensi

Capetown: Sekumpulan penyelidik berjaya menemui bukti Gua Wonderwerk, Afrika Selatan menjadi rumah tertua dihuni manusia dalam sejarah.

Menurut beberapa ahli arkeologi, rumah itu pernah dihuni manusia purba sejak dua juta tahun lalu.

Jurnal Quaternary Science Reviews dari pasukan Universiti Toronto, Kanada dan Universiti Hebrew Jerusalem mengesahkan usia rumah itu dengan menguji enapan dalam gua terbabit.

Pengarang utama jurnal itu, Profesor Ron Shaar berkata, menentukan usia gua itu dihuni manusia adalah tugas paling mencabar pasukan arkeologi berkenaan.

Katanya, pasukan menganalisis lapisan enapan setebal 2.5 meter yang mengandungi batuan dan sisa haiwan dengan menggunakan dua kaedah, paleomagnetisme dan 'burial dating'.

"Kami dengan berhati-hati mengambil ratusan sampel enapan yang berukuran sangat kecil dari dinding gua dan mengukur isyarat magnetiknya.

"Analisis makmal kami menunjukkan beberapa magnet sampel terarah ke Selatan bukan ke Utara.

"Ini memberi petunjuk usia keseluruhan lapisan dalam gua itu," katanya dalam portal BBC News.

Pasukan penyelidik turut menemui beberapa tinggalan yang digunakan manusia zaman purba seperti kapak tangan batu serta sisa abu dan tulang hangus.

Ia membuktikan manusia purba yang menghuni gua itu sudah menggunakan api sekitar satu juta tahun lalu seperti disiarkan jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences pada 2012.

Tapak bersejarah dalam Gua Wonderwerk ditemui beberapa petani sekitar tahun 1940-an.

Sejak itu penggalian dilakukan untuk mengungkap misteri kewujudan manusia dalam gua sekitar dua juta tahun lalu.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 6:05am
d