Afrika

20 maut dibunuh penyamun

Oleh BERNAMA

Kano (Nigeria): Seramai 20 pegawai awam maut dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di Zamfara, di utara Nigeria pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.

Pembunuhan itu berlaku di pusat pentadbiran kerajaan tempatan Shinkafi dan mayat mangsa turut dibakar kumpulan penyamun.

Jurucakap Kor Keselamatan dan Pertahanan Awam Nigeria (NSCDC) di negeri itu, Aminu Mary, yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata komander kor negeri telah ke tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian.

Kerajaan negeri berkata lebih 2,000 yang disyaki menjadi pemberi maklumat kepada penyamun telah ditahan sejak perkhidmatan telekomunikasi disekat dan tentera melancarkan operasi, menurut Pesuruhjaya Penerangan Zamfara, Ibrahim Dosara.

"Kerajaan telah menyediakan bilik operasi untuk menerima aduan supaya tindakan pantas dapat dilaksanakan," kata Dosara lapor Anadolu.

Beliau berkata operasi yang dilancarkan pihak berkuasa menyebabkan sebahagian penyamun terpaksa melarikan diri dan ada segelintir dilaporkan berada dalam kelaparan selepas terputus bekalan makanan.

Kerajaan di negeri yang bergolak itu turut mengambil langkah drastik dengan menyekat rangkaian telekomunikasi dan penjualan petrol selain mengharamkan pasar mingguan.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 2:19pm
d