Afrika

Kes Covid-19 di Afrika Selatan mencecah tiga juta

Oleh AFP

Cape Town: Jangkitan Covid-19 di Afrika Selatan melonjak dengan mencecah rekod tiga juta pada Jumaat apabila gelombang baharu yang didorong oleh varian Omicron melanda beberapa bahagian negara itu.

Kerajaan Afrika Selatan pada Jumaat melaporkan 16,055 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kumulatif kes disahkan makmal kepada 3,004,203.

"Peningkatan ini mewakili kadar positif sebanyak 24.3 peratus," lapor Institut Kebangsaan Penyakit Berjangkit yang dikendalikan kerajaan dalam kemas kini harian.

Majoriti kes baharu yang dilaporkan pada Jumaat, 72 peratus dikesan di Gauteng iaitu wilayah paling ramai penduduk di negara itu.

Gauteng yang meliputi ibu kota Pretoria dan hab ekonomi dan kewangan negara, Johannesburg muncul sebagai pusat penularan varian baharu, sejak ia mula dikesan di sana minggu lalu.

Pakar epidemiologi terkenal, Salim Abdool Karim pada Isnin meramalkan Covid-19 di negara yang paling teruk dilanda di benua itu, boleh menyaksikan jangkitan harian lebih tiga kali ganda minggu ini kepada lebih 10,000.

Peningkatan mendadak dalam jangkitan disebabkan oleh varian Omicron baharu yang sangat menular yang pertama kali dilaporkan oleh saintis Afrika Selatan pada 25 November lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 10:12am
    d