Afrika

2 dos Pfizer beri perlindungan 70 peratus daripada Omicron - Kajian

Oleh AFP

Johannesburg: Dua dos suntikan vaksin Pfizer mampu memberikan perlindungan 70 peratus penyakit teruk daripada jangkitan varian Omicron.

Kajian terbaharu diterbitkan di Afrika Selatan, semalam itu berkata, dua dos vaksin Pfizer-BioNTech masih mampu menawarkan perlindungan melawan penyakit serius.

"Dua dos vaksin Pfizer-BioNTech menunjukkan 70 peratus keberkesanan dalam mengurangkan risiko kemasukan hospital.

"Namun, hospital tetap akan penuh apabila Omicron merebak pantas di Afrika Selatan," kata ketua syarikat insurans kesihatan swasta Afrika Selatan, Discovery, Ryan Noach yang turut mengetuai kajian itu.

Menurut syarikat itu, dua dos vaksin menawarkan 93 peratus perlindungan melawan varian terdahulu.

Kajian itu dilaksanakan Discovery bersama Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan (SAMRC) berdasarkan keputusan 78,000 ujian PCR yang diambil di negara itu antara 15 November hingga 7 Disember lalu.

Minggu lalu, Afrika Selatan meluluskan suntikan penggalak untuk semua penduduk berusia 18 tahun ke atas.

Setakat ini, lebih 17 juta orang atau kira-kira satu pertiga daripada populasi Afrika Selatan sudah lengkap divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 9:49am
    d