Afrika

Enam maut dalam kejadian rempuhan di stadium

Oleh BERNAMA

Yaounde: Sekurang-kurangnya enam orang maut dalam kejadian rempuhan di stadium yang menganjurkan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang sedang berlangsung di Cameroon, pada malam Isnin, kata Gabenor Wilayah Tengah Aseri Paul Bea.

Tragedi itu berlaku ketika peminat bola sepak cuba memasuki stadium ketika perlawanan kalah mati yang penting antara Cameroon dan Comoros sedang berlangsung.

Bea berkata, "beberapa" yang lain cedera dan dikejarkan ke hospital di ibu negara Yaounde berdekatan stadium berkenaan.

Pihak berkuasa bimbang jumlah kematian mungkin meningkat.

Emmanuel Njomo yang menyaksikan kejadian itu memberitahu Xinhua bahawa lebih 1,000 orang bertolak-tolakan di laluan pintu masuk stadium pada masa yang sama.

"Semua orang tidak sabar dan mahu masuk ke stadium untuk menonton perlawanan yang sudah pun bermula. Mereka menolak penghadang keselamatan dan di situlah masalah bermula," kata Njomo sambil menambah bahawa beberapa kanak-kanak dan wanita kemungkinan mati atau cedera semasa rempuhan itu.

Stadium itu mempunyai 60,000 tempat duduk tetapi hanya boleh beroperasi pada 80 peratus kapasiti berikutan sekatan Covid-19.

Disiarkan pada: January 25, 2022 @ 2:48pm
d