Afrika

Resort mewah di Ras al-Khaimah, UAE

Oleh Agensi

Abu Dhabi: Pengendali hotel dan kasino Wynn Resorts berkata, ia akan membina sebuah resort mewah di Ras al-Khaimah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan 'kawasan permainan.'

Al Jazeera melaporkan gergasi kasino berpangkalan di Nevada itu mengumumkan perjanjian berbilion dolar dengan negara berkenaan termasuk pembukaan hotel mewah 1,000 bilik dengan 10 restoran dan lounge, spa, kemudahan konvensyen, tempat beli-belah serta 'kawasan permainan'.

Bagaimanapun, Wynn tidak menyatakan sama ada permainan itu termasuk perjudian.

Pengumuman itu dibuat seiring kenyataan Lembaga Kemajuan Pelancongan Ras al-Khaimah (Raktda) yang memperkenalkan bahagian baharu dikenali Jabatan Hiburan dan Kawal Selia Permainan, memberi isyarat peraturan hiburan mungkin dilonggarkan.

Bahagian itu akan mengawal selia 'pusat peranginan bersepadu' merangkumi operasi hotel, ruang hiburan, restoran, spa, kedai runcit, kawasan konvensyen dan permainan, kata kenyataan itu.

Pusat peranginan bersepadu biasanya merujuk kepada hotel dengan kasino dan kemudahan hiburan lain.

Dalam satu kenyataan di media kerajaan, Raktda berkata keutamaan bahagian baharu itu ialah rangka kerja kawal selia yang memastikan "amalan bertanggungjawab permainan rekreasi di semua peringkat."

Pejabat komunikasi kerajaan Ras al-Khaimah, Raktda, RAK Hospitality Holding dan Wynn Resorts belum mengulas sama ada perjudian akan dibenarkan di negara itu.

Tetapi diplomat berkata, UAE boleh membenarkannya sebagai sebahagian daripada pembaharuan perundangan yang lebih luas bertujuan mengekalkan kelebihannya sebagai hab pelancongan dan perniagaan di tengah-tengah persaingan serantau yang semakin meningkat.

Dubai secara tradisinya kawasan paling liberal di UAE, menafikan khabar angin ia memberikan lesen perjudian, pada April lalu.

Pengendali kasino dan hotel Caesars pada 2018 membuka resort di Pulau Bluewaters, Dubai iaitu projek bukan perjudian pertamanya.

Resort Wynn yang terletak di Al Marjan, sebuah pulau buatan manusia di luar pantai Ras al-Khaimah dijangka siap pada 2026.

Di satu lagi pulau buatan di Dubai, The Island, tiga hotel mewah Las Vegas daripada pengendali kasino MGM Resorts sedang dibina dan ia dijangka siap pada 2022.

Walaupun pengambilan alkohol dibenarkan di UAE, tidak ada tempat untuk berjudi di semua enam negara ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Disiarkan pada: February 18, 2022 @ 7:01am
d