Afrika

Bandar di Nigeria dengan paling banyak kembar

Oleh AP

Abuja: Bukan pelik lagi, malah ia menjadi kebiasaan apabila kebanyakan penduduk di Igbo-Ora, barat daya Nigeria, melahirkan kembar dan kembar seiras.

Tiada penjelasan saintifik bagi membuktikan kadar tinggi kembar di Igbo-Ora, bandar yang memiliki sekurang-kurangnya 200,000 penduduk, namun ramai penduduk tempatan percaya ia membabitkan diet wanita.

Ketua penduduk tempatan, Jimoh Titiloye berkata, hampir setiap keluarga di bandar itu mempunyai anak kembar.

Seorang wanita, Alake Olawunmi, mengaitkan kelahiran anak kembarnya dengan makanan istimewa tempatan yang dipanggil amala yang diperbuat daripada tepung keladi.

Sementara itu, pakar sakit puan yang berpangkalan di ibu negara, Abuja, John Ofem berkata, ada kemungkinan makanan yang mereka makan mempunyai tahap hormon tertentu yang tinggi hingga mengakibatkan ovulasi berganda.

Keunikan itu membuatkan masyarakat di bandar itu menganjurkan festival tahunan bagi meraikan anak kembar sejak 12 tahun lalu.

Menurut wakil penganjur, acara tradisi tahun ini akan disertai lebih 1,000 pasangan kembar serta menarik peserta dari jauh seperti Perancis.

Seorang pelajar Nigeria, Taiwo Ojeniyi berkata, dia menghadiri festival tahunan itu bersama saudara kembarnya untuk meraikan keunikan kelahiran berganda.

Disiarkan pada: October 16, 2022 @ 12:13pm
d