Afrika

Dalam alam fantasi, rupanya...

Oleh Agensi

Cape Town: Seorang wanita di Afrika Selatan dituduh berfantasi kerana mengaku memecahkan rekod dunia dengan melahirkan 10 bayi dalam satu masa, walaupun tiada bukti yang menyokong dakwaannya.

Mirror UK melaporkan, Gosiame Sithole mendakwa dia melahirkan kembar 10 itu pada 7 Jun 2021 di Hospital Steve Biko di Pretoria, Afrika Selatan.

Dia juga mendakwa dilarang daripada berjumpa dengan bayinya, dipaksa untuk menjalani penilaian psikiatri dan mengatakan privasinya dicabuli oleh pegawai hospital, pekerja sosial serta anggota polis.

Dalam maklum balas kepada aduan yang dibuat oleh suami wanita itu, Tebogo Tsotetsi, seorang pendakwa raya mendapati semua dakwaan berkenaan adalah karut dan rekaan semata-mata.

Selepas berita itu tersebar di seluruh dunia, 'kembar 10 itu' dikenali di Afrika Selatan sebagai 'Thembisa 10'.

Tsotetsi bagaimanapun mendakwa dokumen perubatan dikongsi tanpa pengetahuan atau kelulusannya kepada media.

Dia juga mendakwa polis menahannya secara menyalahi undang-undang, dan dua anak kembar sulungnya diambil secara paksa daripada jagaannya, lapor Times Live.

Bagi menyusun laporannya setebal 57 muka surat, pendakwa raya Kholeka Gcaleka menemu bual individu yang dikatakan terbabit dalam kejadian termasuk di hospital didakwa tempat kanak-kanak itu sepatutnya dihantar.

Laporan itu menyatakan 'Dakwaan Sithole melahirkan kembar 10 pada 7 Jun 2021 di Hospital Steve Biko dan tidak diberi peluang berjumpa bayinya adalah tidak berasas'.

Bukti menunjukkan Sithole tiada hospital berkenaan dan wanita itu juga tidak hamil.

Disiarkan pada: January 1, 2023 @ 2:27pm
d