Afrika

Tak jadi kahwin, tunang diarah bayar ganti rugi

Oleh AFP

Kampala: Seorang wanita diperintah membayar bekas tunangnya lebih AS$2,800 (kira-kira RM11,880) kerana memutuskan pertunangan mereka selepas lelaki itu membiayai pengajiannya, selain menyebabkan kesulitan dan penderitaan psikologi.

Perintah itu diputuskan Majistret Charles Mukobi di Mahkamah Majistret Kanungu, barat Uganda, pada Khamis.

Berdasarkan fakta kes, pesara guru, Richard Tumwiine, 64, membayar kos pengajian Fortunate Kyarikunda, dalam diploma undang-undang semasa pasangan itu bertunang.

Wanita berusia awal 30-an itu kemudian menentang plaintif dengan mengatakan dia tidak boleh berkahwin lelaki tua.

"Memandangkan janji untuk berkahwin tidak ditunaikan oleh defendan sehingga merugikan plaintif, maka plaintif berhak mendapat bayaran balik," kata Mukobi.

Mukobi berkata, Kyarikunda perlu membayar 9,439,100 uganda shilling (kira-kira RM10,879) yang dibelanjakan Tumwiine untuk pengajiannya.

"Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar 1 juta uganda shilling (kira-kira RM1,152) sebagai ganti rugi am kepada plaintif kerana kesulitan dan penderitaan psikologi," katanya.

Kyarikunda tidak mengemukakan pembelaan mahupun menghadiri prosiding.

Tumwiine pada Jumaat berkata, kes itu meninggalkan 'kecederaan' kekal dalam hatinya.

"Saya dicemuh oleh rakan dan saudara-mara sebagai seorang lelaki yang 'ditolak' serta ditipu wanita, selain ia mengganggu hidup saya," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Etika Uganda dan aktivis hak wanita terkemuka, Miria Matembe menyelar keputusan berat sebelah.

Katanya, ia adalah kes bagaimana sistem kehakiman berpihak kepada lelaki.

Disiarkan pada: January 29, 2023 @ 10:58am
d