Afrika

Cubaan memasak selama 100 jam

Oleh Agensi

Abuja: Cef Nigeria, Hilda Bassey Effiong atau lebih dikenali sebagai Hilda Buci mungkin memecahkan Rekod Dunia Guinness untuk tempoh memasak paling lama.

Hilda Baci, mula memasak pada Khamis dua minggu lalu berterusan sehingga Isnin minggu lepas.

Dia mencipta lebih 55 resipi dan lebih 100 hidangan yang direka untuk mempamerkan masakan Nigeria terbaik dalam sesi maraton dapur (Cookathon).

Jawatankuasa Rekod Dunia Guinness masih perlu membuat pengesahan dan memastikan semua kriteria dipenuhi sebelum menentukan sama ada Bassey akan menjadi pemegang rekod.

Sebelum ini, rekod terdahulu dipegang cef India, Lata Tondon yang memasak selama 87 jam dan 45 minit.

Dia turut menghantar mesej sokongan kepada Hilda Baci semasa percubaannya itu.

Hilda Baci memberitahu CNN, dia terfikir mahu mencuba rekod itu kerana dia mahu makanan Nigeria dikenali dunia.

"Masakan Nigeria adalah yang terbaik di luar sana.

"Semakin banyak resipi dipromosikan, semakin ramai bersedia mencubanya," katanya kepada CNN.

Katanya, dia hampir berputus asa pada hari pertama cabaran, namun selepas berjaya mengatasi rekod terdahulu, dia semakin bersemangat mengejar sasaran selama 100 jam.

"Hari pertama paling sukar.

"Saya hampir putus asa selepas enam jam bermula.

"Namun, saya rasa macam satu keajaiban berlaku dan entah macam mana saya berjaya melakukannya.

"Sokongan itu luar biasa," katanya.

Walaupun kurang tidur sepanjang aktiviti memasaknya di Lagos, Bassey tetap bersemangat tinggi dan dapat dilihat menari dan melambai ke arah peminat yang beramai-ramai menyokongnya.

Selebriti termasuk pemuzik Tiwa Savage dan ahli politik tempatan turut melawat wanita itu semasa cabaran memasak berkenaan.

Seorang lelaki, Uduak Obong berkata, dia menempuh perjalanan ratusan kilometer sepanjang malam dengan menaiki bas untuk tiba di Lagos bagi menyaksikan acara bersejarah itu.

Disiarkan pada: May 19, 2023 @ 12:44pm
d