Amerika Selatan

Covid-19: Presiden Brazil pecat Menteri Kesihatan

Oleh BERNAMA

Bogota: Presiden Brazil Jair Bolsonaro memecat Menteri Kesihatan Luiz Henrique Mandetta, berikutan pertikaian mengenai langkah pencegahan berhubung pandemik Covid-19, lapor agensi berita Anadolu.

Kedua-duanya, sejak beberapa minggu lalu sering berbalah mengenai langkah isolasi yang perlu diambil negara itu.

"Saya baru dimaklumkan Presiden Jair Bolsonaro mengenai pemecatan saya dari Kementerian Kesihatan. Saya berterima kasih atas peluang yang diberikan," kata Mandetta pada Khamis.

Tindakan itu bukanlah satu kejutan kepada rakyat Brazil yang sering melihat kedua-dua pemimpin itu bertikam lidah.

Mandetta tegas dengan pendiriannya untuk mengenakan isolasi sosial lebih meluas tetapi dibantah Bolsonaro, yang menyifatkan wabak menular tidak seimbang dan langkah itu tidak perlu serta menjejaskan ekonomi.

Keputusan memecat Mandetta boleh mengakibatkan Brazil berdepan risiko kesihatan dan politik yang sangat besar, kerana negara ini dijangka memasuki puncak penularan wabak dalam beberapa hari lagi.

Sehingga petang Khamis, Brazil melaporkan 30,425 kes Covid-19 dan 1,924 kematian.

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 12:51pm
d