Amerika Selatan

Berkarya atas kot putih doktor

Oleh Agensi

Panama City: Sekumpulan 22 artis di Panama menghasilkan karya seni dengan menggunakan kot putih doktor.

Hasil karya seni berkenaan dilelong untuk mengumpul dana bagi pembelian peralatan perlindungan daripada Covid-19 di negara di tengah benua Amerika itu.

Seorang daripada mereka, Genaro Rodriguez berkata, beliau teruja dapat bersama berkarya dalam projek khas berkenaan.

Beliau turut menggambarkan pengalaman melukis di atas kot putih berkenaan sama seperti melukis di atas jubah adiwira.

Dengan menggunakan akrilik, Rodriquez melakar corak geometri dalam warna yang terang pada pakaian berwarna putih itu.

"Kebiasaannya dalam karya saya, warna kelabu lebih banyak digunakan, tetapi untuk projek ini saya memanfaatkan warna asal kot ini sebagai simbolik kepada harapan," katanya.

Setiap satu daripada 24 kot putih berkenaan turut memaparkan tanda nama doktor.

Rodriguez berkarya pada kot putih milik Fulvia Vergara, iaitu ketua kepada unit rawatan rapi di hospital awam Santo Tomas di bandar ini.

Di daerah Cangrejo pula, artis, Rolo De Sedas mewarnakan kot putih doktor dengan hijau dan melukis figura wanita yang diinspirasikan dari kisah rakyat Panama.

De Sedas berkata, karya atas pakaian itu memberinya peluang menghayati pengorbanan doktor yang bekerja keras merawat pesakit virus berkenaan.

"Tiada satu karya seni yang saya hasilkan sebelum ini memberi maksud begitu besar," katanya.

Semua 24 kot putih berkenaan dilelong kepada individu yang membidanya pada harga tertinggi.

Panama merekodkan kes Covid-19 tertinggi di Amerika Tengah, dengan lebih daripada 111,000 kes dan lebih 2,300 kematian.

Lelongan karya seni itu diadakan secara maya antara 1 dan 4 Oktober, dengan harga permulaan ditetapkan pada AS$1,000 (kira-kira RM4,146).

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:01am
d