Amerika Selatan

Wajah Maradona dicadang pada wang Argentina

Oleh Agensi

Buenos Aires: Seorang senator di Argentina mencadangkan wajah mendiang Diego Maradona diabadikan pada wang kertas baharu negara itu.

Legenda bola sepak dunia itu yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia 1986, meninggal dunia pada usia 60 tahun dua minggu lalu.

Senator Norma Durango, 68, mencadangkan perkara itu kepada Kongres Isnin lalu, dan wajah wira kebangsaan itu bakal menghiasi wang kertas 1,000 peso Argentina (RM48.9).

Jika diluluskan, wang berkenaan akan menampilkan wajah Maradona di bahagian depan dan jaringan terkenalnya ketika menentang England pada Piala Dunia 1986 di bahagian belakang.

Durango turut mencadangkan perkara sama membabitkan legenda bola sepak negara Amerika Selatan itu diabadikan menerusi setem peringatan.

Katanya: "Idea ini bukan saja untuk mengiktiraf idola paling penting kita, tetapi juga untuk memikirkan soal ekonomi.

"Apabila pelancong datang ke sini, mereka pasti mahu membawa pulang 'Maradona' bersama mereka."

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 12:50pm
d