Amerika Selatan

Karya ejekan

Oleh Agensi

Rio de Janeiro: Sebuah muzium pelik di Brazil mempamerkan patung lilin ikon ternama dan selebriti Hollywood yang berkemungkinan paling teruk di dunia.

Ia berdasarkan hasil kerja pengukirnya yang dikatakan tidak sempurna hingga mengubah bentuk asal ikon berkenaan.

Antara yang menghiasi muzium itu adalah Nelson Mandela, Puteri Diana, Marilyn Monroe, Elvis Presley, John F Kennedy dan Martin Luther King.

Koleksi muzium itu sebelum ini ditunjukkan dalam pameran di sebuah gereja di Rolandia, selatan Brazil, enam tahun lalu, namun tersebar kembali di media sosial, minggu lalu.

Perkongsian berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi warganet dengan The Sun melaporkan ada antara mereka menggelarkannya sebagai Pertunjukan Seram Brazil.

Bagaimanapun, pengukir Arlindo Armacollo, 77, yang menerima banyak permintaan untuk temu bual sejak minggu lalu memberitahu, dia tidak peduli ejekan orang mengenai hasil karyanya.

Sebaliknya dia berharap karya itu menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung ke kampung halamannya.

"Jika ia membabitkan wang, mungkin ia mengganggu saya sama ada orang menghargai apa yang saya buat atau tidak.

"Tetapi apa yang saya lakukan itu kerana saya minat. Saya buat untuk bandar saya. Jika orang suka, mereka akan datang lawat. Jika tidak, tidaklah. Kenapa perlu bimbang?" katanya kepada The Guardian.

Patung lilin itu dipindahkan dari gereja ke muzium yang dinamakan sempena nama bapa pengukir itu sejak laporan televisyen pada 2015.

Koleksi terkini yang terdapat di situ adalah patung Ratu Elizabeth II.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 7:01am
d