Amerika Selatan

Minat merah jambu dorong jadi Barbie

Oleh Agensi

Rio de Jeneiro: Terlalu sukakan warna merah jambu menyebabkan seorang influencer di Brazil memilih untuk menjalani gaya hidup unik seperti Barbie.

Digelar Barbie Brazil, Bruna Carolina Peres dari Parana mendakwa dia terlalu menyukai warna itu selama ini, lapor Oddity Central.

Dengan penampilan seperti Barbie sebenar, dia kini menjadi antara influencer paling popular di media sosial di negara itu dengan pengikut lebih 10 juta di TikTok, 2.4 juta di YouTube dan lebih 300,000 di Instagram.

Bruna menghabiskan banyak masa untuk menghasilkan kandungan di semua platform itu.

Pada mulanya, dia bukanlah seorang penggemar Barbie dan hanya mengenakan pakaian berwarna merah jambu ketika remaja.

Namun rakan-rakannya membandingkan penampilannya dengan karakter pelakon Reese Whitherspoon di dalam filem Legally Blonde dan mula memanggilnya Barbie.

Sejak itu, dia menerima gelaran berkenaan dan hidup sebagai Barbie sebenar.

Dia dikelilingi persekitaran merah jambu dan tinggal di rumah dengan warna sama.

"Saya bermula dengan berkongsi gambar, video dan gaya hidup di media sosial setiap hari pada 2013 dan hari ini ia menjadi kerjaya.

"Peminat saya daripada pelbagai golongan, daripada yang berkongsi rasa suka merah jambu sehinggalah mereka yang tidak berapa gemar," katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 6:10am
d