Amerika Selatan

Harry, Meghan dedah rahsia kahwin awal

Oleh AFP

New York: Putera Harry dan isterinya Meghan Markle mendakwa sudah berkahwin secara rahsia iaitu tiga hari lebih awal daripada upacara rasmi.

Perkara itu didedahkan oleh Meghan ketika ditemu ramah oleh Oprah Winfrey dalam rakaman yang disiarkan pada Ahad di Amerika Syarikat.

"Tiga hari sebelum majlis perkahwinan rasmi, kami berkahwin. Tiada siapa yang tahu mengenai perkara ini.

"Kami menghubungi Ketua Biskop Canterbury, Justin Welsby dan memaklumkan majlis perkahwinan ini adalah untuk tontonan dunia tetapi kami mahu penyatuan ini adalah antara kami berdua sahaja," katanya.

Perkahwinan Meghan dengan pewaris keenam takhta Britain itu berlangsung di Gereja St George, Istana Windsor pada 18 Mei 2018 dengan disaksikan jutaan peminat keluarga diraja itu seluruh dunia.

Dalam temuramah itu, Harry dan Meghan turut mengumumkan jantina anak kedua mereka yang bakal menimang anak perempuan tidak lama lagi.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 10:58am
d