Amerika Selatan

Larang lelaki masuk kedai pakaian wanita

Oleh AFP

Brasília: Bosan dengan sikap lelaki mengganggu pelanggan dan pekerjanya dengan komen jelik, pemilik kedai pakaian wanita di Brazil memutuskan untuk melarang lelaki mengunjungi premisnya.

'Lelaki tidak dibenarkan', tertera notis diletakkan usahawan dan model, Andrea Costa di cermin kedainya di pusat beli-belah di Sao Jose dos Campos, sebuah bandar dengan 700,000 penduduk di negeri tenggara Sao Paulo.

"Haiwan peliharaan anda dialu-alukan," tambahnya.

Satu lagi notis dipasang di kedai meminta lelaki: "Sila menyumbang kepada privasi wanita dan tunggu di bangku di luar kedai."

Costa memberitahu AFP dia membuat keputusan itu selepas banyak kes lelaki membuat komen tidak diingini dan melemparkan pandangan jelik kepada pelanggan dan pekerja di kedainya.

Ia termasuk ketika dia dan kakitangannya merakam gambar untuk jualan dalam talian di studio kecil di dalam premis itu.

"Majoriti lelaki berkelakuan tidak wajar dan mustahil membezakan yang baik hanya dengan melihat mereka. Jadi mereka semua dilarang," katanya.

Costa yang mempunyai lebih 250,000 pengikut di Instagram cuba menarik perhatian kepada masalah gangguan seksual di dalam kedai dengan menyiarkan gambar lelaki berkelakuan buruk.

Lelaki di kedainya sering cuba mengintip wanita di bilik persalinan.

Selain itu, ada menegur pasangan yang mencuba pakaian dengan komen seperti, "Itu kelihatan mengerikan bagi anda," dan "Anda tidak keluar dengan kelihatan seperti itu," kata Costa.

Dia berkata, sebelum ini, dia cuba 'memujuk' lelaki keluar dari bilik persalinan dengan menawarkan arak dan permainan video, tetapi ia tidak berhasil.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 6:30am
d