Amerika Selatan

RM16,650 upah berlaku kejam

Oleh Agensi

Bogota: Seorang wanita di Colombia mengaku membayar 3,000 pound sterling (RM16,650) untuk membunuh seorang penagih dadah hamil, dengan mengeluarkan bayi dari rahim mangsa.

Yadira Yepes didakwa membunuh Sandra Alvarez yang juga gelandangan di Soacha, selain terbabit dalam penyeksaan dan aktiviti pemerdagangan kanak-kanak.

Suspek berusia 23 tahun pergi ke hospital dan memaklumkan kepada doktor dia baru melahirkan anak beberapa jam sebelum itu.

Selepas menjalani beberapa pemeriksaan, doktor mendapati wanita itu berbohong dan laporan dibuat.

Polis Soacha, Kolonel Livio Castillo memaklumkan media tempatan bahawa Yepes kelihatan gementar ketika disoal dan memberikan jawapan bercanggah bagaimana bayi terbabit boleh berada di dalam jagaannya.

Dia akhirnya mengaku membuat satu rancangan jahat untuk mencuri bayi terbabit.

"Kami menghubungi keluarganya dan mereka memaklumkan wanita itu mengandung, namun muncul dengan seorang bayi yang didakwa lahir secara tiba-tiba.

"Mereka kemudian membawa wanita itu ke hospital kerana bimbang kesihatannya.

"Suspek kemudian memaklumkan ketika bulan ketiga kandungannya gugur, dan itu menyebabkan dia merancang untuk mendapatkan bayi lain sebagai ganti," katanya.

Pihak berkuasa berkata, Yepes kemudian mengupah tiga lelaki untuk bertemu mangsa dan membawa mangsa bersiar-siar di kawasan pedalaman di Chachua, pada 8 April lalu.

Seorang daripada tiga suspek lelaki yang melakukan jenayah itu mengeluarkan bayi yang berusia 37 minggu dari rahim mangsa, menurut El Tiempo.

Penduduk kawasan menemui mayat Alvarez, dengan uri dan tali pusat bayi.

Superintendan Polis Fabian Garcia ternyata terkejut dengan keganasan yang berlaku dalam kes ini.

Disiarkan pada: April 27, 2022 @ 6:59am
d