Amerika Selatan

Wartawan British, jurupandu mati ditembak, mayat dikebumi di kawasan terpencil Amazon

Oleh AFP

Sao Paulo: Wartawan British, Dom Phillips dan jurupandu warga Brazil yang hilang di Amazon kira-kira dua minggu lalu sehingga mencetuskan bantahan antarabangsa, mati ditembak, kata polis Brazil pada Sabtu.

Sehari selepas siasatan, selain mengenal pasti mayat Phillips, 57, yang ditemukan ditanam di bahagian terpencil Amazon, polis mengesahkan satu lagi mayat jurupandu yang juga aktivis Orang asli, Bruno Pereira, 41.

Pihak berkuasa melaporkan, Phillips mati ditembak di dada, manakala Pereira, 41, dibunuh dengan tiga das tembakan, salah satunya ke kepala.

Difahamkan, Pereira yang lantang membela hak Orang asli di negara itu sudah beberapa kali menerima ancaman bunuh.

Phillips dan Pereira hilang pada 5 Jun lalu di kawasan terpencil di hutan terbabit yang penuh dengan aktiviti perlombongan, tangkapan ikan dan pembalakan secara haram, selain pengedaran dadah.

Selepas 10 hari kehilangan kedua-dua lelaki itu, polis berjaya menahan suspek pembunuhan yang mengebumikan mayat mangsa di sebuah lokasi berhampiran Atalaia do Norte.

Suspek membawa polis ke lokasi pengebumian mayat itu dan tidak lama selepas itu, abang suspek turut ditahan.

Polis pada Sabtu berkata, seorang lagi suspek dalam kes itu, Jefferson da Silva Lima yang juga dikenali sebagai Pelado da Dinha menyerah diri di balai polis.

Polis juga percaya suspek bertindak bersendirian melakukan jenayah itu tanpa ada dalang atau organisasi jenayah di sebaliknya.

Aktivis di negara itu menyalahkan Presiden Jair Bolsonaro susulan pembunuhan itu kerana membenarkan eksploitasi komersial di Amazon yang memberi impak kepada alam sekitar, undang-undang dan ketenteraman.

Bagaimanapun, Bolsonaro cuba menyalahkan kedua-dua mangsa kerana melakukan perjalanan 'melulu' di kawasan yang mana Phillips 'tidak disukai'.

Persatuan Orang Asli Univaja yang sebelum ini terbabit dengan pencarian mangsa menolak kenyataan polis pembunuh bertindak bersendirian.

"Ini bukan hanya membabitkan dua pembunuh, tetapi kumpulan tersusun yang merancang jenayah secara terperinci," kata Univaja dalam satu kenyataan.

Disiarkan pada: June 19, 2022 @ 11:46am
d