Amerika Selatan

Wanita dipenjara 6 tahun kerana membunuh perogolnya

Oleh Bernama-Dpa

Mexico City: Seorang wanita Orang Asli di sini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dua bulan pada Khamis atas pertuduhan membunuh perogolnya lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mahkamah mengambil perhatian bahawa wanita itu yang dinamakan sebagai Roxana bertindak mempertahankan diri apabila dia membunuh penyerangnya pada 2021, namun memutuskan dia menggunakan kekerasan yang berlebihan.

Wanita berusia 23 tahun itu mula-mulanya mengetuk lelaki itu sehingga pengsan sebelum mencekik dan cuba memotong badannya.

Dia menyimpan mayat itu sekurang-kurangnya 20 jam sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik di jalan.

Mahkamah berkata ia mengambil kira "kelemahannya sebagai seorang wanita dan sebagai orang asli" dalam hukumannya.

"Ia adalah hidup saya atau hidupnya," kata wanita itu dalam temu bual dengan saluran berita Eme Equis. "Saya hanya mahu mempertahankan hidup saya daripada perogol," katanya, sambil menambah bahawa dia bertindak kerana takut.

Dia masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Ibu tunggal dari negeri selatan Oaxaca itu disokong oleh pertubuhan wanita. Dia sudah menghabiskan sembilan bulan dalam tahanan pra-perbicaraan sebelum dibebaskan sepanjang tempoh perbicaraan.

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 5:01pm
d