Amerika Selatan

12 maut sesak nafas, lombong emas tertutup

Oleh AFP

Ciudad Guayana, Venezuela: Seramai 12 orang maut akibat sesak nafas dalam lombong emas tertutup di tenggara Venezuela, kata seorang pegawai tempatan kepada AFP pada Sabtu.

"Kami mempunyai 12 kematian hari ini," kata setiausaha keselamatan di El Callao, Jeneral Edgar Colina Reyes, dalam satu temu bual telefon.

"Mereka memasuki lombong yang sudah lama ditutup," katanya.

Menurut Colina lagi kematian mula berlaku pada Rabu apabila lombong itu dibanjiri air akibat hujan dan menyebabkan bekalan oksigen terhadap pelombong haram itu terpotong.

"Lima mayat ditemukan pada Jumaat dan tujuh lagi pada Sabtu," katanya yang turut memaklumkan bahawa semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Pada 2021, terdapat satu kematian dan 34 berjaya diselamatkan daripada lombong yang sama akibat runtuhan.

Venezuela Selatan dipenuhi dengan aktiviti perlombongan yang sah dan haram, dan kemalangan adalah perkara biasa.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 10:23am
d