Amerika Utara

Hati-hati sambut Krismas - WHO

Oleh AFP

Geneva: Kegembiraan menyambut Krismas tahun ini boleh bertukar menjadi 'tangisan' jika diraikan dengan mengabaikan aspek pencegahan Covid-19.

Perkara itu ditegaskan, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus yang berkata, angka kematian akibat Covid-19 terus meningkat dan meminta orang ramai berfikir semula rancangan mereka untuk meraikan perayaan itu.

"Perayaan adalah masa untuk berehat dan meraikannya. Namun, ia (sambutan) boleh bertukar menjadi kesedihan jika tidak mengamalkan langkah pencegahan. Tolong, tolong rancang percutian anda sebaik mungkin.

"Jika anda tinggal di kawasan yang ada jangkitan tinggi, mohon ambil langkah pencegahan sebaiknya untuk keselamatan diri dan keluarga anda.

"Ia akan menjadi hadiah terbaik yang anda boleh berikan iaitu hadiah kesihatan," katanya pada sidang media, hari ini.

Tedros berkata, kematian akibat Covid-19 meningkat 60 peratus di seluruh dunia sejak enam minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Teknikal Mengenai Covid-19 WHO, Marian Van Kerkhove pula berkata, beberapa benua menyaksikan kes kematian yang tinggi ketika ini.

Katanya, jumlah kematian di rantau Eropah menunjukkan peningkatan sehingga 100 peratus dalam tempoh enam minggu lalu, manakala di benua Amerika meningkat 54 peratus dan naik 50 peratus di Afrika.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 10:41am
d