Amerika Utara

Trump fail petisyen cabar keputusan pilihan raya Pennsylvania

Oleh BERNAMA

Washington: Pasukan kempen Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung AS bagi mencabar keputusan pilihan raya presiden di Pennsylvania , lapor Agensi Berita Sputnik.

"Kempen Trump memfailkan petisyen meminta Makamah Agung mengeluarkan surat perintah untuk membatalkan tiga keputusan pilihan raya Pennsylvania yang secara tidak sah mengubah undang-undang undi pos Pennsylvania sebelum dan sesudah pilihan raya presiden 2020," kata pasukan Trump di Twitter pada Ahad.

Menurut peguam Trump, Rudy Giuliani, petisyen itu memohon perintah yang membolehkan perundangan Pennsylvania memberikan 20 undi elektoral kepada Trump.

Awal bulan ini, Trump mengatakan Mahkamah Agung telah "benar-benar mengecewakan kita" kerana institusi itu menolak untuk mencabar keputusan pemilihan presiden di Wisconsin, Georgia, Pennsylvania, dan Michigan, selepas tuntutan mahkamah dikemukakan oleh negeri Texas.

Bakal Presiden AS Joe Biden disahkan memenangi pilihan raya presiden November menerusi undi elektoral pada 14 Disember setelah semua 50 negeri mengesahkan keputusan pengundian secara rasmi.

Namun, Trump masih enggan mengaku kalah, menuduh berlaku penipuan undian, walaupun 60 petisyen yang dikemukakan kempennya sebelum ini, ditolak.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 12:41pm
d