Amerika Utara

Bintang TikTok diancam bunuh

Oleh Agensi

Washington: Seorang bintang TikTok kelahiran Amerika Syarikat menerima ancaman bunuh selepas menunjukkan berat badannya naik sepanjang tempoh berkurung.

Portal Daily Mirror melaporkan Chloe Xandria bagaimanapun meminta wanita tidak rasa bersalah sekiranya berat mereka naik selepas dia sendiri mengabadikan detik perubahan dirinya sejak Januari.

Dia juga turut merakam video khas untuk 250,000 pengikut di laman sosialnya.

"Saya memilih untuk menghargai tubuh ini sepanjang wabak berlaku," katanya.

Chloe yang sebelum ini mempunyai masalah gangguan pemakanan gembira dengan perubahan berat badannya sepanjang perintah berkurung dilaksanakan.

Ketika berada di depan cermin, Chloe mengenakan baju merah jambu dan seluar jean.

Kemudian gambar kedua menunjukkan dia menaikkan kemeja-T yang dipakai bagi menampakkan perutnya membuncit.

Video itu menjadi tular dengan tontonan lebih dua juta kali.

Bagaimanapun, meskipun ada yang bersimpati terdapat juga pengikutnya tidak suka dengan perkongsian itu.

Chloe menyatakan dia tidak hanya menerima komen jahat mengenai dia dan keluarga, tetapi ugutan bunuh.

"Saya terpaksa menutup ruangan komen di video. Saya ingin berterima kasih pada semua pengikut yang menyokong saya," katanya.

Bintang TikTok itu juga turut memaparkan komen sindiran seorang lelaki di Instagramnya.

Chloe bagaimanapun tidak mendedahkan berat badannya namun mengaku lebih senang dengan bentuk tubuhnya sekarang.

Dia mengakui, mentalnya lebih stabil sepanjang pandemik Covid-19 yang meragut kehidupannya sebagai penuntut tahun akhir.

"Ingatlah semua, kita harus selalu bersyukur. Makanan adalah salah satu yang boleh memberikan kita ketenangan dalam keadaan sekarang," katanya.

Katanya, sengaja membangkitkan isu berat badan sepanjang perintah berkurung bertujuan memotivasikan wanita lain yang kurang keyakinan diri.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 6:00am
d