Amerika Utara

Ryan's World saluran Youtube paling masyuk

Oleh Agensi

Texas: Kanak-kanak lelaki dari Texas, Amerika Syarikat (AS), Ryan Kaji, 9, disenaraikan Youtube sebagai penerima bayaran tertinggi sepanjang tahun ini apabila meraih AS$29.5 juta (RM119 juta).

Dalam Senarai Forbes 2020, pendapatan itu dijana menerusi saluran Youtube iaitu 'Ryan's World' yang terkenal dengan video membuka kotak hadiah permainan dengan ulasan menghiburkan serta diikuti kira-kira 41.7 juta peminat.

"Kini, Kaji juga mempunyai pelbagai barisan barangan berjenama sendiri seperti mainan, ubat gigi dan beg sekolah, yang dijual menerusi Amazon, Target dan Walmart.

"Jualan barangan berkenaan mencecah AS$200 juta (RM807 juta) tahun lalu selain penerbitan program bersiri Nickelodeon, Ryan's Mystery Playdate," katanya.

Berdasarkan Senarai Forbes, ini bukan pertama kali Kaji mendahului senarai bayaran tertinggi di Youtube kerana dia pernah tersenarai pada 2018 dan 2019.

Selain itu, video keluarannya, 'Huge Eggs Surprise Toy Challenge', adalah antara 60 video yang paling banyak ditonton di laman sesawang, dengan lebih dua bilion tontonan.

Difahamkan, Kaji juga sudah menandatangani perjanjian untuk siri televisyen di Nickelodeon yang dilaporkan bernilai jutaan dolar.

Selain Kaji, pencipta kandungan Youtube yang mencatatkan pendapatan tertinggi adalah Mr Beast (Jimmy Donaldson) (AS$24 juta), Dude Perfect (AS$23 juta), Rhett and Link (AS$20 juta), Markiplier (Mark Fischbach) (AS$19.5 juta), Preston Arsement (AS$19 juta), Nastya (Anastasia Radzinskaya) (AS$18.5 juta), Blippi (Stevin John) (AS$17 juta), David Dobrik (AS$15.5 juta) dan Jeffree Star (AS$15 juta).

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 7:00pm
d