Amerika Utara

'Neverland' Michael Jackson dijual RM89 juta

Oleh AFP

Los Angeles: Hartanah bekas milik mendiang Michael Jackson, Neverland Ranch di California dijual pada harga jauh lebih rendah iaitu AS$22 juta (kira-kira RM89 juta).

Difahamkan, seorang ahli perniagaan berpangkalan di Montana yang mempunyai pelbagai perniagaan menjadi pembeli hartanah berkenaan.

Jackson dilaporkan membeli hartanah berkenaan pada harga AS$19.5 (kira-kira RM79.1 juta) pada 1980-an.

Ia dilengkapi dengan rumah agam dengan enam bilik tidur, rumah tetamu, taman seluas empat ekar (1.6 hektar) dengan air terjun, gelanggang tenis, beberapa kandang dan tempat perlindungan haiwan.

Ketika hayatnya, Raja Pop itu membangunkan tanah berkenaan seperti taman tema dengan rumah agam, lengkap dengan landasan permainan kereta api dan roda Ferris.

Selain itu, Jackson dilaporkan menulis beberapa lagu hitsnya di kediaman berkenaan.

Namun, Neverland juga menjadi lokasi di mana beliau menjemput kanak-kanak dan menyebabkan penyanyi itu dituduh mencabul mangsa.

PIhak berkuasa turut menyerbu kediaman di hartanah berkenaan ketika melakukan siasatan salah satu kes berkenaan pada 2003.

Bagaimanapun, penyanyi itu dibebaskan daripada pertuduhan untuk kes terbabit pada 2005.

Selepas kematian Jackson , hartanah itu dijenamakan semula dengan nama Sycamore Valley Ranch.

Dalam pada itu, harga AS22 juta juta dikatakan amat rendah berbanding harga yang diiklankan pada 2015 iaitu AS$100 juta (kira-kira RM406 juta)

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 12:13pm
d