Amerika Utara

Facebook sekat Trump hingga Biden angkat sumpah atau lebih

Oleh AFP

San Francisco: Facebook melanjutkan sekatannya terhadap akaun Presiden Donald Trump atas dakwaan berterusan menghasut keganasan di Capitol, Amerika Syarikat (AS).

Ketua Eksekutifnya Mark Zuckerberg pada Khamis memaklumkan, sekatan sehari itu dilanjutkan sama ada di akaun Facebook mahupun Instagram kerana Trump didakwa menggunakan platform berkenaan untuk menghasut pemberontakan terhadap kerajaan baharu yang dipilih secara demokratik.

"Kami percaya ia berisiko tinggi untuk membenarkan presiden terus menggunakan perkhidmatan kami dalam tempoh ini. Oleh itu, kami melanjutkan sekatan yang dibuat terhadap akaun Facebook dan Instagram beliau selamanya, atau sekurang-kurangnya untuk dua minggu sehingga peralihan kuasa secara damai selesai," katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya.

Twitter yang menjadi media sosial kegemaran Trump sebelum ini menyekat pemimpin itu selama 12 jam dan memberi amaran akan terus menyekatnya jika pemimpin itu kerap melanggar peraturan.

Trump kembali menciap di Twitter pada Khamis dengan memuat naik video mesej untuk meredakan ketegangan yang dicetuskan penyokongnya, selepas kemenangan Joe Biden disahkan, Rabu lalu.

"Kepada mereka yang bertindak ganas dan melakukan kemusnahan, anda tidak mewakili negara ini," kata Trump yang bagaimanapun tidak menyebut nama mahupun mengucapkan tahniah kepada penggantinya ketika memberitahu mahu memastikan peralihan pentadbiran yang lancar dan teratur pada 20 Januari ini.

Selain dua media sosial itu, beberapa platform lain turut menyekat video dan perkongsian gambar Trump atas kebimbangan terhadap mesej retorik melampau termasuk Snapchat dan TikTok.

Disiarkan pada: January 8, 2021 @ 1:31pm
d