Amerika Utara

Twitter 'haramkan' akaun Trump

Oleh AFP

San Francisco: Twitter pada Jumaat menggantung akaun Presiden Donald Trump selama-lamanya dengan memberi alasan risiko keselamatan kerana ia mungkin menyebabkan keganasan.

Ia susulan tindakan penyokong Trump yang menceroboh bangunan Capitol, sebelum ini.

"Selepas menilai semula ciapan Trump baru-baru ini menerusi akaun @realDonaldTrump, pihak kami memutuskan untuk menggantung selama-lamanya akaun berkenaan bagi mengelak kejadian keganasan lain akan terjadi," kata Twitter dalam satu kenyataan.

Trump sebelum ini kembali memuat naik hantaran (posting) video di Twitter dalam usaha untuk menenangkan ketegangan selepas insiden yang disebabkan oleh tindakan penyokongnya itu.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa tempohnya bergelar Presiden sudah berakhir dan berjanji akan memastikan proses peralihan kuasa akan berjalan dengan aman.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan ucapan tahniah atau menamakan Joe Biden di dalam hantaran berkenaan.

Twitter berkata, platform itu akan terus memantau aktiviti Trump di media sosial berkenaan sebelum mengenal pasti tindakan sewajarnya.

Keputusan untuk menggantung akaun Twitter milik Trump dibuat selepas beberapa siri hantaran yang dimuat naik oleh presiden itu.

Dalam satu hantaran, Trump berkata, beliau tidak akan menghadiri majlis pelantikan Biden sebagai presiden baharu Amerika Syarikat pada 20 Januari.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 10:57am
d