Amerika Utara

Perompak janin jalani hukuman suntikan maut

Oleh Agensi

Washington: Amerika Syarikat (AS) melaksanakan hukuman mati dengan kaedah suntikan maut kepada seorang wanita, hukuman pertama seumpamanya dalam tempoh 70 tahun.

AFP melaporkan Jabatan Kehakiman negara itu mengesahkan bahawa Lisa Montgomery, 52, menjalani hukuman itu di sebuah penjara di Terre Haute di Indiana.

Media sebelum ini melaporkan wanita itu sepatutnya menjalani hukuman itu pada Selasa, tetapi ia ditangguhkan selepas peguam belanya memperoleh penangguhan pada saat-saat akhir.

Ia bagi membolehkan mahkamah menilai status kesihatan mental tertuduh ketika melakukan jenayah berkenaan.

Montgomery sebelum ini didapati bersalah membunuh seorang wanita hamil, Bobbie Jo Stinnett, 23, di Missouri pada Disember 2004.

Berdasarkan rekod mahkamah, tertuduh mengenal pasti mangsa secara dalam talian dan pergi sejauh 281 kilometer dari rumahnya di Kansas ke Skidmore untuk melakukan jenayah itu.

Montgomery menjerut mangsanya yang mengandung lapan bulan dengan tali sebelum menoreh perut dan mengeluarkan bayi perempuan yang belum lahir dengan pisau dapur.

Dia kemudian menculik bayi itu dan berlakon seolah-olah bayi itu adalah anaknya.

Ia menjadikan Montgomery yang digelar 'perompak janin' menjadi satu-satunya wanita yang menjalani hukuman mati di peringkat mahkamah persekutuan dan juga wanita pertama dihukum mati sejak 1953.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 4:36pm
d