Amerika Utara

Biden angkat sumpah Presiden

Oleh AFP

Washington: Joe Biden, 78, secara sah menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 selepas selesai mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung, John Roberts, di bangunan Capitol, Washington DC, hari ini.

Sebelum itu, Kamala Harris, 56, wanita pertama dan individu pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik sebagai Naib Presiden AS turut mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung, Sonia Sotomayor.

Manakala, bekas Presiden AS, Donald Trump dilapor meninggalkan Washington tiga jam sebelum Biden mengangkat sumpah, sekali gus menjadi presiden pertama dalam 150 tahun yang tidak menghadiri majlis pelantikan penggantinya.

Penantian 34 tahun Biden berakhir, yang mana beliau pertama kali mencuba nasib bertanding bagi jawatan berkenaan pada 1987 namun gagal tetapi hari ini, membuka lembaran baru buatnya dan sejarah AS apabila menjadi Presiden AS tertua pada usia 78 tahun.

Namun, buat pertama kali dalam sejarah 200 tahun, upacara angkat sumpah Presiden AS dan Naib Presiden dipilih, Kamala Harris, kurang meriah kerana kehadiran orang ramai terpaksa dihadkan berikutan pandemik Covid-19. Sebagai simbolik memeriahkan upacara itu, laman hadapan bangunan Capitol dihiasi kira-kira 200,000 bendera.

Rusuhan penyokong Trump dua minggu lalu mendorong pihak berkuasa mengerahkan 25,000 anggota berkawal bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Trump meminta rakyat AS mendoakan kejayaan pentadbiran yang bakal diterajui penggantinya, Biden, dalam ucapan menerusi rakaman video selepas hampir dua minggu menghilang.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 8:05am
d