Amerika Utara

Perbicaraan Senat terhadap Trump, minggu kedua Februari

Oleh AFP

Washington: Perbicaraan Senat untuk memecat Donald Trump sebagai presiden akan diadakan pada minggu kedua Februari.

Ia bagi membolehkan urusan pengesahan pelantikan Ahli Kabinet pentadbiran di bawah Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, selesai.

Dewan Perwakilan sebelum ini mengemukakan tindakan pemecatan terhadap Trump, seminggu sebelum tempoh pentadbiran presiden itu, berakhir.

Tindakan pemecatan itu akan dibacakan di Senat pada Isnin sebelum 100 ahlinya akan mengangkat sumpah sebagai juri, pada keesokan harinya.

Mereka akan memutuskan sama ada bersalah atau sebaliknya berhubung salah laku dan jenayah berat.

Dewan melantik Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi akan bertindak sebagai pengurus kepada kes pemecatan berkenaan.

Tindakan pemecatan itu susulan ucapan Trump yang didakwa mencetuskan serangan penyokong Trump di bangunan Capitol, Washington pada 6 Januari yang menyebabkan lima individu termasuk seorang anggota polis meninggal dunia.

Dengan Senat kini dianggotai oleh 50 ahli Parti Demokrat dan Parti Republikan, dewan memerlukan majoriti dua pertiga untuk mensabitkan Trump atas kesalahan berkenaan.

Ini bermakna 17 undi daripada parti Trump (Republikan) diperlukan untuk memecatnya.

Trump menjadi presiden AS pertama yang berdepan tindakan pemecatan, sebanyak dua kali, sepanjang menguasai Rumah Putih.

Bagaimanapun, pada tindakan kali pemecatan pertama, beliau dibicarakan tetapi dibebaskan daripada pertuduhan.

Jika beliau didapati bersalah kali ini, beliau akan dipecat daripada jawatannya sebagai presiden AS dan tidak akan menikmati faedah persaraan termasuk pencen.

Selain itu, keputusan itu akan membolehkan ahli dewan akan melakukan undian kedua untuk menghalang Trump daripada bertanding jawatan presiden untuk penggal kedua pada pilihan raya seterusnya.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 11:16am
d