Amerika Utara

Varian baharu Covid-19 Brazil dikesan di AS

Oleh AFP

Washington: Kes pertama varian baharu Covid-19 dari Brazil disahkan di Amerika Syarikat, kata pihak berkuasa kesihatan di negeri Minnesota pada hari Isnin.

Jabatan Kesihatan Minnesota dalam satu kenyataan memaklumkan makmal Kesihatan Awam menemui varian virus SARS-CoV-2 yang dikenali sebagai varian Brazil P.1 dalam spesimen penduduk Minnesota dengan sejarah perjalanan ke Brazil baru-baru ini.

Pesakit itu iaitu penduduk di Twin Cities di Minneapolis dan Saint Paul, diuji positif Covid-19 pada awal Januari dan dinasihatkan untuk mengasingkan diri, kata kenyataan itu.

Analisis makmal lebih lanjut menunjukkan kes itu adalah varian Brazil.

"Kes ini serta penemuan tiga kes varian baharu Covid-19 Britain di Minnesota dalam beberapa minggu terakhir menunjukkan betapa penting untuk mengehadkan perjalanan ketika pandemik sebanyak mungkin," kata ahli epidemiologi negara, Ruth Lynfield dalam penyataan.

Presiden Joe Biden pada Isnin lalu mengenakan semula larangan perjalanan ke atas bukan rakyat tempatan yang pernah berada di Britain, Brazil, Ireland dan sebahagian besar Eropah.

Larangan itu juga membabitkan pelancong ke Afrika Selatan selepas muncul varian baharu Covid-19 di negara itu.

Biden turut baru memperketat pemakaian pelitup muka dan memerintahkan kuarantin wajib bagi mereka yang mengembara ke Amerika Syarikat, ketika dia berusaha mengatasi krisis koronavirus yang semakin buruk di negara itu.

Lebih daripada 25 juta kes Covid-19 direkodkan di Amerika

sejak wabak itu bermula, menurut laporan Johns Hopkins University.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 26, 2021 @ 10:06am
    d